Sunday, September 21, 2008

Berita Terkini


Hmm..boleh lah kami rileks lagi :)

Monday, September 8, 2008

PIYADASA – Obor yang Telah Padam

Artikel ini sebagai 'teaser' isu terbaru nanti. Al-Fatihah untuk Piya.


Apabila sahabat saya yang juga sahabat karib Allahyarham Redza Piyadasa, Raja Ahmad Aminullah dari R.A. Fine Arts menzahirkan hasrat beliau untuk menjemput saya membentangkan kertaskerja ringkas sempena Majlis Belasungkawa untuk Piyadasa (yang beliau ingin anjurkan) reaksi pertama saya kepada beliau ialah ada tokoh-tokoh lain, seperti Datuk Syed Ahmad Jamal, T. K. Sabapathy, Dato’ Baharudin Zainal (Baha Zain), Dr Sulaiman Esa, yang lebih layak untuk memperkatakan tentang jasa dan sumbangan besar Piyadasa kepada dunia seni rupa Malaysia.
Saya cuma seorang kolektor yang secara kebetulan telah menjalin hubungan persahabatan dengan Piyadasa sejak 10 tahun kebelakangan ini. Ini tidak cukup melayakkan saya untuk membicarakan sumbangan dan jasa besar Piyadasa itu di dalam suatu Majlis yang terbuka untuk khalayak ramai.

Namun demikian saya menyatakan persetujuan apabila Raja Ahmad menerangkan bahawa Majlis yang diaturnya itu turut menjemput tokoh-tokoh yang saya sebutkan tadi dan beliau mahu penglibatan dari pelbagai pihak untuk memberi penghormatan beragam bagi mengenang jasa-jasa besar Piyadasa itu.

Sebagai seorang kolektor seni rupa kontemporari Malaysia, umum telah mengetahui bahawa tumpuan koleksi kami (saya dan isteri saya, Fatimah Sulaiman), adalah terhadap karya-karya seni rupa yang dihasilkan oleh perupa-perupa dari angkatan yang jauh lebih muda dari Piyadasa seperti Bayu Utomo Radjikin dan rakan-rakan beliau dalam kumpulan Matahati, Wong Hoy Cheong, Amron Omar, Mad Anuar, Jai (sekadar menyebut beberapa nama) dan perupa-perupa lain yang lebih kurang seangkatan dengan mereka itu. Ini adalah pilihan yang telah saya dan isteri saya ambil.

Akan tetapi, untuk setiap “general rule”, selalunya ada kekecualian…..dan karya-karya Piyadasa merupakan satu-satunya kekecualian dalam teras (“core”) koleksi kami. Selain dari karya-karya Piyadasa yang kami kumpul secara serius dan mendalam, karya-karya dari pelukis-pelukis dari generasi beliau seperti Datuk Syed Ahmad Jamal, Dr Jolly Koh dan lain-lain lagi hanya merupakan “appendix” kepada teras koleksi kami itu. Ini tidak bermakna kami menafikan sumbangan dan mutu karya-karya perupa-perupa veteran itu. Kami tetap menghargai/menikmati karya-karya mereka tetapi cuma sebagaimana yang telah saya terangkan, ia adalah suatu pilihan yang telah kami buat untuk memberi tumpuan mengumpul karya-karya perupa kontemporari Malaysia yang lebih muda.

Kenapa Piyadasa merupakan kekecualian? Ini mungkin berkaitan rapat dengan pengalaman peribadi saya sendiri. Piyadasa merupakan di antara perupa Malaysia yang paling awal saya “kenali”; bukan secara fizikal tetapi melalui pembacaan. Masih segar di ingatan saya akan “perkenalan” yang pertama dengan beliau - masa itu saya berada di tingkatan 6 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Sebagaimana kebanyakkan pelajar-pelajar yang memperolehi kelulusan yang baik untuk peperiksaan LCE (peringkat tingkatan 3) saya dijuruskan ke aliran sains. Semasa berada di tingkatan 6 saya mengalami suatu krisis dimana saya telah hilang minat meneruskan pelajaran dalam aliran sains. Saya selalu tuang kelas dan menghabiskan banyak masa di khutubkhanah sekolah. Di situlah saya menjadi pembaca yang “voracious” terhadap apa juga penulisan yang berkaitan dengan sastera dan seni rupa. Di kala inilah di dalam lembaran Dewan Sastera, majalah Bahasa Melayu yang khusus untuk sastera, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, saya menemui nama “gah” Redza Piyadasa dan rakan pelukis beliau Sulaiman Esa yang telah berjaya mengadakan sebuah pameran yang bertajuk “Towards a Mystical Reality”. Piyadasa pada waktu itu (pada awal tahun 1975) sedang terlibat di dalam suatu siri perdebatan yang cukup hebat (sehingga kini saya menganggapnya tetap sebagai yang terhebat dalam sejarah seni rupa Malaysia) dengan pelukis Siti Zainon Ismail di dalam lembaran majalah Dewan Sastera.

Perdebatan itu (yang terbit dari pameran, “Towards a Mystical Reality”) kemudiannya menjadi lebih riuh dan hebat dengan kehadiran protagonis yang ketiga, Salleh Ben Joned (yang pada masa itu seorang pensyarah sastera Inggeris di Universiti Malaya) yang menulis surat terbuka bertajuk “Kencing dan Kesenian” kepada Piyadasa di dalam Dewan Sastera mempertahan dan memberi rasional kepada “gesture” beliau untuk menyirami gumpalan naskhah manifesto “Towards a Mystical Reality” dengan air kencing beliau semasa majlis pembukaan pameran di Dewan Bahasa dan Pustaka. Seterusnya beliau melancarkan suatu serangan yang hebat terhadap sikap dan pandangan Piyadasa/Sulaiman Esa tentang falsafah Zen dan teori baru mereka sebagaimana yang terkandung di dalam manifesto mereka itu. Perdebatan itu mempunyai pengaruh yang amat kuat dan mendalam terhadap pandangan saya tentang dunia seni rupa. (1)

Di zaman inilah kita menyaksikan suatu pertalian yang amat rapat dan mesra di antara golongan sasterawan Melayu dengan golongan perupa di mana Piyadasa dan Datuk Syed Ahmad Jamal adalah di antara tokoh-tokoh yang utama di pihak seni rupa, manakala dari kalangan penulis, Baha Zain dan Usman Awang adalah antara tokoh-tokoh utamanya. Justeru itulah, tidak menghairankan kenapa perdebatan yang terhebat dalam dunia seni rupa Malaysia berlaku di dalam lembaran majalah yang khusus untuk sastera dan di dalam Bahasa Melayu! Malangnya jambatan yang mereka rintis itu tidak kekal lama.

Pertalian erat itu telah di antara lain memungkinkan Piyadasa kemudiannya melahirkan salah sebuah karya terpenting beliau iaitu “Tribute for Usman Awang II” bertarikh 1980. Melalui lukisan tersebut Piyadasa telah memberi sanjungan yang cukup tinggi kepada Usman Awang disamping, dengan begitu jelas (orang kata dah terang bersuluh lagi!), menganjurkan agar Usman Awang diberi penghargaan selayaknya selaku penyair terkenal tanahair oleh pemerintah dengan menerbitkan setem peringatan/penghargaan terhadap beliau. Anjuran secara visual yang cukup jelas itu, malangnya sehingga kini, iaitu setelah 27 tahun karya itu tercipta, masih kekal sebagai anjuran belaka. Selama 27 tahun ini tiada siapa dipihak pemerintah yang tergugah atau terketuk pintu hatinya untuk berbuat sesuatu! Kalau “tak nak” tokoh, apalah salahnya kalau kita menerbitkan setem yang menggambar atau mengabadikan karya-karya seni rupa terpenting yang telah dihasilkan oleh perupa-perupa tersohor tanahair.

Di Barat, mereka memberi penghargaan yang cukup tinggi terhadap golongan pelukis, penulis dan para seniman mereka. Contohnya baru-baru ini saya telah membaca laporan di dalam akhbar The Star, keluaran 22 Mei 2007, yang memetik laporan Associated Press bahawa Royal Mail di Britain akan menerbitkan satu siri 7 setem penghargaan pada 17 Julai nanti menggambarkan watak Harry Potter dari novel kanak-kanak yang tekenal yang dicipta oleh penulis J.K. Rowling. Menurut jurucakap Royal Mail, pengeluaran setem peringatan (commemorative) Harry Potter itu adalah merupakan sebahagian dari tradisi pejabat pos di Britain untuk merayakan “social themes and important occasions central to our way of life”. (2) Demikianlah, di Britain, mereka tidak menunggu sehingga tokoh telah meninggal dunia sebelum diberi penghargaan dalam bentuk setem peringatan. Sementara itu, di Amerika Syarikat, menurut laporan akbar Sunday Star keluaran 27 Mei 2007, pejabat pos negara itu akan mengeluarkan setem peringatan sempena ulangtahun ke 30 siri pertama dari filem-filem Star Wars mula dipertontonkan.(3) Bilakah agaknya tradisi memperingati dan memberi penghargaan kepada karya-karya kreatif dan tokoh-tokoh yang terlibat menciptanya akan menjadi “suatu cara hidup kita” di negara ini?

Begitulah testimoni malang golongan seniman/intelektual di negara ini! Kita cukup cepat untuk mengambil/meniru hal-hal yang kurang penting/baik, yang banal dan yang superfisial dari tamadun/peradaban Barat dalam upaya kita untuk mencapai tahap negara maju. Hal-hal yang lebih penting dan asas seperti penghargaan kepada pemikir-pemikir yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan intektektual bangsa, kita kesampingkan begitu sahaja.

Piyadasa menjadi saksi utama kepada ketidakpedulian kita terhadap sumbangan para seniman. Beliau lebih dihargai di luar negeri tetapi dibelakangkan di negeri sendiri; sedangkan beliau adalah di antara sejumlah kecil seniman dan intelektual negara ini yang telah menyumbang untuk mengharumkan nama Malaysia di luar negara. Lihat saja apa yang berlaku semasa beliau meninggal dunia tempoh hari: rata-rata mereka yang berkunjung ke rumah beliau di Subang Jaya untuk menziarahi jenazah dan seterusnya mengiringi jenazah ke kubur adalah sahabat-sahabat dan ahli keluarga beliau. Tiada kelihatan tokoh-tokoh dan pemimpin negara di kala itu. Penganjuran Majlis Belasungkawa ini pun adalah inisiatif individu. Di mana peranan dan tanggungjawab institusi yang diwujudkan khas oleh negara untuk memelihara dan memajukan dunia seni rupa Malaysia? Saya berharap inisiatif ini adalah pemula sahaja….

Kecintaan Piyadasa terhadap buku memang termasyhur di kalangan sahabat-sahabat beliau. Tidak cukup dengan koleksi buku yang impresif beliau juga menjadi penyumbang utama terhadap buku-buku berkaitan dengan dunia seni rupa Malaysia. Bagi saya inilah antara peranan terpenting beliau selain dari pelbagai peranan yang telah dimainkan semasa hayatnya. Dunia penulisan seni rupa Malaysia telah kehilangan tokohnya yang terpenting dengan kembalinya Piyadasa ke rahmatullah. Dan yang lebih malang bagi dunia seni rupa Malaysia ialah kita tiada nampak pengganti /penerus kepada upaya ini. Saya secara peribadi amat merasai kepergian beliau itu, kerana ada beberapa projek buku yang beliau rencanakan, seperti sebuah monograf untuk pengarca Mad Anuar Ismail dan sebuah buku “coffee table” tentang karya-karya penting dalam koleksi peribadi kolektor-kolektor penting di Malaysia (di mana beliau akan memberi ulasan terhadap karya-karya itu), kini tidak mungkin disempurnakan. Dengan ketiadaan Piyadasa, dunia seni rupa Malaysia kehilangan obornya. Dunia luar dan malah khalayak di negara sendiri akan terus gelap/kelabu terhadap perkembangan/sumbangan perupa-perupa kita jika Piyadasa atau Piyadasa-piyadasa yang baru tidak dilahirkan dengan segera! Dan justeru itu saya khuatir tahap “secondary market” untuk karya-karya seni rupa di negara ini akan tetap pada takuk yang sediada iaitu pada peringkat antara yang paling bawah jika dibandingkan dengan keadaan yang wujud dilain-lain negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina atau Thailand umpamanya.

Salah satu aspek yang disentuh oleh Salleh Joned di dalam “Surat Terbuka” beliau kepada Piyadasa ialah unsur “lack of humour” yang terdapat pada diri beliau. Pengalaman saya dengan Piyadasa adalah sebaliknya - beliau sebenarnya mempunyai “sense of humour” yang amat baik/subur.

Pengalaman yang pertama ialah semasa berada di rumah beliau di Subang Jaya dalam tahun 1999. Masa itu saya dan Fatimah dijemput ke rumah beliau untuk makan malam. Teman lain yang turut dijemput ialah saudara Baha Zain dan isterinya. Selepas makan, kami bersembang berkenaan pelbagai topik (seperti kebiasaannya dengan Piyadasa). Suatu ketika saya mengambil kesempatan meminta dari Piyadasa, jika ada yang lebih, sebuah naskhah manifesto pameran “Towards a Mystical Reality” kerana saya tidak ada naskhahnya yang asli. Niat saya adalah untuk Piyadasa menandatangani naskhah itu untuk simpanan dan koleksi saya. Beliau kata akan cuba carikan kerana naskhah manifesto itu nipis dan mungkin terselit di celah ratusan buku-buku milik beliau.


Di ketika inilah Piyadasa menceritakan bagaimana beliau dan Sulaiman Esa menemui “match” mereka dalam diri Salleh Ben Joned. Diceritakannya betapa mereka berdua masa itu begitu besar kepala (“arrogant”) dan dengan penuh keyakinan diri melontarkan idea-idea baru tentang pasca modernisme (termasuk idea falsafah Zen dari Timur) untuk merevolusikan dunia seni rupa Malaysia; seolah-olah dunia seni rupa Malaysia masa itu serta masa hadapannya berada di dalam genggaman mereka berdua. Tidak pernah terlintas di kepala mereka waktu itu bahawa idea-idea mereka itu akan dapat diganggu-gugat oleh sesiapa. Tiba-tiba muncul Salleh Ben Joned yang dengan begitu berani dan penuh dramatik telah melancarkan bantahan dan serangan yang cukup hebat terhadap “intervention” yang Piyadasa/Sulaiman lakukan terhadap dunia seni rupa Malaysia itu. Salleh telah melakukannya dengan kombinasi perlakuan yang kasar (iaitu melalui “gesture” menyirami air kencingnya ke atas gumpalan naskhah manifesto “Towards a Mystical Reality” di ruang Dewan Bahasa dan Pustaka) dan yang intelektual (iaitu melalui surat terbuka di Dewan Sastera yang sekaligus mempamerkan pengetahuan beliau yang mendalam tentang falsafah Zen). Rupa-rupanya, menurut Piyadasa, wujud seorang “mahaguru” Zen yang telah berjaya “mengajar” mereka berdua (yang masih “greenhorn” dalam falsafah Zen pada waktu itu) secukup-cukupnya tentang apa itu Zen sehingga serangan “mahaguru” itu tidak terbantah oleh mereka. “He really cut us down to size and punctured our ego!”, ujar Piyadasa. Piyadasa mengakui itulah kesilapan besar beliau iaitu tidak sempat mendalami falsafah Zen secukupnya sebelum membuat “intervention” yang bersejarah itu. Cara Piyadasa menceritakan episod tersebut adalah begitu “self-deprecating” sambil mentertawakan diri sendiri. Saya cukup menghargai sikap yang terpuji itu kerana citra watak manusia yang bernama Piyadasa itu sebelum ini, adalah sebagai seseorang yang begitu “arrogant“ dan sombong dengan ilmunya dan agak dogmatik sikapnya. Kebolehan beliau untuk mentertawakan diri sendiri dan mengakui kesilapan diri sendiri itu menyedarkan saya bahawa beliau adalah seorang insan yang cukup kompleks dan berjiwa besar.

Selepas ketawa terbahak-bahak mendengar cerita itu, perbincangan kami itu menjurus kepada sesuatu yang serius dan hangat terutama sekali apabila beliau antara lain menyerang dengan agresif sikap “parochial” sasterawan-sasterawan Melayu pada masa kini dibandingkan dengan zaman beliau rapat dengan Usman Awang dahulu. Baha Zain pun menjadi “hangat” dan “pertengkaran” pun berlaku apabila Piyadasa menekan Baha Zain bertubi-tubi tentang isu itu. Untuk berlaku adil kepada saudara Baha Zain beliau sebenarnya agak bersetuju secara umum dengan pendapat Piyadasa itu, akan tetapi cara Piyadasa meluahkan pendapatnya itu, kelihatan seperti beliau menyerang Baha Zain secara peribadi. Memang bukanlah merupakan suatu perjumpaan/perbincangan dengan Piyadasa, jikalau tidak disusuli dengan pertikaian pendapat yang “robust” dan hangat! Selain dari itu, peristiwa makan malam di rumah Piyadasa itu akan tetap saya ingati kerana malam itu saya dan Fatimah berjaya memperolehi salah sebuah karya “masterpiece” Piyadasa!(4)

Pengalaman yang kedua ialah bagaimana kami sering bertukar-tukar “joke” (lelucon) ringan melalui sms. Piyadasa cukup gembira dan terhibur dengan lelucon sms yang saya hantarkan walaupun adakalanya beliau memberi ulasan-ulasan yang agak serius sifatnya kepada lelucon ringan itu. Contohnya ialah semasa isu ajaran sesat Ayah Pin cukup hangat diperkatakan di seluruh negara, saya telah mengirimkan kepada Piyadasa lelucon sms yang berbunyi begini: “NEWS FLASH: Ayah PIN sudah di ketemui di TamPIN dgn hanya memakai kain lamPIN yang disemat dgn safety PIN. Masa tu dia sedang hangat joget zaPIN….” Piyadasa memberi respons yang agak mengejutkan terhadap lelucon itu : “Ayah Pin is an interesting post-modernist installation artist! Must be included in the story of modern Malaysian Art!!”. Saya jawab : “…..yours is an interesting and creative view…. most people would simply view him [iaitu Ayah Pin] as a con artist!” Demikianlah Piyadasa, yang seringkali melontarkan idea yang amat provokatif tetapi tetap ada kebenarannya dalam aspek-aspek yang tertentu!.

Perhubungan saya dengan Piyadasa bukanlah sekadar bertukar-tukar lelucon sms. Kami sering menghantar khabar berita tentang perkembangan diri masing-masing melalui pesanan sms. Umpamanya dengan cara itu saya mengetahui tentang beliau menjadi Profesor Madya di Universiti Malaya (mengajar sejarah seni rupa Malaysia dan Asia Tenggara); pengembaraan beliau di India selama sebulan pada awal tahun 2006 dan tatkala beliau terlantar di hospital sebelum selamat kembali ke rahmatullah.

Pagi semalam, sebagaimana lazimnya, saya menghantar lelucon sms terbaru kepada beberapa kenalan yang saya sering bertukaran lelucon itu. Apabila saya skrol nama-nama yang terdapat di dalam ruang “Contacts” telefon bimbit saya, nama Piya masih terdapat di situ. Entahlah…. sehingga saat ini, tidak tergerak di hati saya untuk memadamkan nama itu dari memori telefon.


2 Jun 2007
Pakhruddin Sulaiman

(1) Untuk komentar dan kupasan yang lebih mendalam tentang perdebatan ini sila rujuk “Piyadasa: An Overview, 1962-2000” oleh T.K.Sabapathy, 2001, terbitan Balai Seni Lukis Negara. Buku ini diterbitkan sempena Pameran Retrospektif Piyadasa yang berlangsung dari 5 April 2001 hingga 19 Ogos 2001 di Balai Seni Lukis Negara.
(2) The Star, 22 Mei 2007, mukasurat W33.
(3) Sunday Star, 27 Mei 2007, mukasurat W43.
(4) Karya yang dimaksudkan itu ialah “Malaysian Story No. 1”, 1999, yang waktu itu baru siap 95%. Menurut anggapan ramai kalangan pengritik, karya itu adalah antara yang terbaik dalam siri Malaysian Seriesnya Piyadasa.


Biodata ringkas penulis:

Pakhruddin Sulaiman memperolehi ijazah sarjana muda undang-undang, Bachelor of Laws (Honours) dari University of London pada tahun 1980 dan lulus Barrister-at-Law dari the Honourable Society of Lincoln’s Inn, London pada tahun 1982. Setelah diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya pada 13 Julai 1983, beliau berkhidmat sebagai peguambela dan peguamcara di beberapa firma guaman di sekitar Kuala Lumpur sebelum menubuhkan syarikat guaman beliau sendiri dengan seorang rakan kongsi yang lain pada tahun 1993. Di antara 1 April 1998 sehingga 30 Mac 2001 beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara. Pakhruddin dan isterinya Fatimah merupakan antara kolektor karya seni serious yang terkenal.



Saturday, September 6, 2008

Menanti Penuh Pasti

SentAp! meniti hari. Setelah lebih 6 bulan menunggu untuk ISSN (nombor penerbitan majalah) akhirnya saya menerima maklumbalas daripada pihak Bhg Kawalan Penerbitan & Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri melalui surat mereka bertarikh 12 Ogos 08. Itu pun ada lagi dokumen yang masih tidak lengkap kata mereka. Jadi kami harus tunggu lagi setelah dimajukan segala bahan yang diminta.

Sebagai penerbit kerdil sebuah majalah seni kontemporari, saya merasa sudah tiba masanya (setelah 6 isu dikeluarkan) sentAp! bergerak secara lebih teratur. Tanpa ISSN, tiada toko-toko buku dan wakil pengedar yang sanggup mendagangkannya. Akibat itu, kami berhadapan dengan lambakan stok yang menuntut ruang dan kederat. Setiap keluaran (cetakan 1000), hanya separuh yang dapat diedarkan secara independen melalui galeri, muzium, ruang seni, para kurator dan seniman. Bayangkan jumlah stok yang semakin membukit kiranya kami tiba ke isu ke 10 nanti. Ramai yang ingin melihat majalah ini terus subur. Syukur sejak mula diusahakan bersama Ise,Yan dan rakan-rakan pelukis serta penulis, sentAp! senantiasa mendapat sokongan samaada secara moral mahupun sebahagian material. Malah, ia pernah diundang menyertai Magazine Project sempena Documenta 12 di Kassel, Jerman pada tahun lepas dan mendapat liputan yang memberansangkan dari kalangan pengkritik dan institusi antarabangsa. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk menguburkan majalah ini oleh pihak-pihak tertentu di dalam arena kesenian tempatan tidak pernah sama sekali menggugat keyakinan tim kami akan potensi sentAp! untuk jangkamasa yang lebih lama. Insyaallah!

- Ketua Editor