Latarbelakang
Program Residensi Seni Rupa GALERI PETRONAS dimulakan pada tahun 2008 sebagai peluang untuk penggiat-penggiat seni rupa Malaysia menyertai program residensi antarabangsa bagi suatu tempoh yang lanjut. Program ini membantu mengembangkan proses pengkaryaan dan kreatif yang baru, memudahkan peluang-peluang perkembangan professional untuk seniman-seniman terlibat dan menggalakkan dialog serta pertukaran pengetahuan. Penerima pertama Program Residensi Seni Rupa tahun 2008 ialah seniman Chan Kok Hooi yang telah menetap di Red Gate Gallery, Beijing dari 1 September hingga 30 October 2008.
Butir-butir
Untuk tahun 2009, GALERI PETRONAS bekerjasama dengan Selasar Sunaryo Art Space, di Bandung Indonesia untuk menawarkan tempoh residensi selama 8 minggu di Bandung, yang memberi peluang kepada seniman Malaysia untuk menetap dan berkarya di Indonesia.
Seniman residensi ini akan turut berpeluang untuk mengadakan pameran karya-karya hasil dari residensi tersebut di GALERI PETRONAS pada tahun 2010.
Tempoh
Program Residensi tahun 2009 akan bermula dari 1 June hingga 31 July 2009
Kelayakan
Program Residensi Seni Rupa GALERI PETRONAS adalah terbuka kepada seniman-seniman yang menetap dan bekerja di Malaysia. Seniman – seniman yang ingin memohon seharusnya mempunyai pengalaman selama sekurang-kurangnya 3 tahun sebagai penggiat seni yang aktif setelah lulus dari institusi pendidikan seni.
Kriteria pemilihan
Pemohon-pemohon perlu menunjukkan bahawa mereka:
· mempunyai tahap amalan profesional yang tinggi
· mempunyai komitment terhadap isu-isu dan perkaedahan kontemporari
· seorang yang mempunyai jati-diri, pintar akal, bertanggungjawab dan sanggup berdikari. Seniman residensi perlu menguruskan pelan kerja secara sendirian untuk memaksimakan pengalaman yang boleh didapati dari program ini.
· sedang mengusahakan suatu projek seni yang boleh mendapat manfaat dari penetapan di Bandung, Indonesia
· mempunyai keinginan dan berkebolehan untuk berkongsi ide-ide, pengetahuan dan maklumat
· seorang yang fleksibel, mudah menyesuaikan diri dan membawa diri secara positif
Tuan rumah Program Residensi tahun 2009
Selasar Sunaryo Art Space (SSAS) di Bandung, Indonesia telah ditubuhkan untuk membantu perkembangan seni dan budaya di Indonesia.
SSAS menyampaikan satu program seni yang pelbagai dan mudah didekati untuk penghayatan tempatan dan pelawat dari luar negeri selaku menyumbang kepada budaya hidup di Indonesia. Fokus program ini adalah seni halus kontemporari dan seni rupa secara umumnya, iaitu bidang rekabentuk, kraf, filem/video, fotografi dan seni bina.
Selain dari menganjurkan pameran-pameran koleksi seni tetap, SSAS juga mengadakan pameran-pameran solo dan berkumpulan oleh seniman-seniman yang makin muncul serta yang sudah mantap; bengkel-bengkel dan sesi-sesi perbincangan; program residensi seniman; program untuk kanak-kanak; program-program seni persembahan seperti konsert dan teater, serta aktiviti-aktiviti lain yang dipilih oleh Lembaga Kurator.
SSAS memulakan peluang-peluang untuk usaha kerjasama dan perangkaian pada tahap nasional serta antarabangsa bersama-sama para seniman, kurator, penyelidik, pemulihara dan semua pihak yang berminat terhadap pendidikan umum melalui aktiviti-aktiviti seni dan budaya.
Kemudahan yang disediakan
Program ini menampung kos tiket kapalterbang pergi-balik dari Bandung, tempat tinggal dan elaun harian (meliputi perbelanjaan makan-minum, kenderaan dan sebagainya) untuk tempoh residensi tersebut.
Proses permohonan dan tarikh akhir:
Setiap permohonan mesti merangkumi semua bahan-bahan (yang tidak akan dikembalikan) seperti berikut:
· butir-butir perhubungan yang lengkap termasuk alamat pos terkini, nombor-nombor telefon dan faksimili, emel dan laman web (jika ada)
· ringkasan atau CV terbaru dengan butir-butir mengenai pencapaian dalam bidang seni termasuk anugerah-anugerah yang diterima, penglibatan dalam pameran-pameran, karya yang pernah diterbit dan sebagainya
· 6 keping gambarfoto karya-karya terkini dalam format 'slide' (atau imej digital jika perlu) dan/atau VHS/DVD (di mana yang berkenaan). Sila kepilkan penghuraian ringkas mengenai setiap 'slide' dan karya yang dipertunjukkan.
· Satu kenyataan seniman yang menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai karya-karya tersebut dan isu-isu yang dikendalikan
· lampiran salinan sebarang ulasan mengenai karya-karya tersebut (jika ada) dan katalog yang pernah diterbitkan (jika ada) akan membantu dalam permohonan anda
· lampiran surat yang menghuraikan sebab-sebab anda berminat terhadap program ini, bagaimana kegiatan seni anda boleh mendapat manfaat dan pencapaian yang diharapkan dari program ini.
Sila hantar permohonon anda kepada:
Rahel Joseph, GALERI PETRONAS, Lot 341 - 343, Level 3, Suria KLCC, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala LumpurE-mel: rahel_joseph@petronas.com.my
Talian terus: (03) 2331 5557
Tarikh akhir permohonan: 15 Mac 2009
No comments:
Post a Comment